SABTU, 25 FEBRUARI 2023
MIRI: Penduduk tempatan yang berkelayakan diseru agar memohon Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) untuk membaiki rumah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, PPRMS dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup golongan yang memerlukan dengan menyediakan tempat tinggal yang selamat dan kondusif untuk didiami.
“Inisiatif ini diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak dengan tujuan membantu rakyat yang tidak mampu membaiki rumah sendiri, meningkatkan kualiti hidup dan menyediakan tempat tinggal yang selamat,” katanya ketika ditemui semasa meninjau keadaan beberapa rumah yang telah dibaiki di bawah inisiatif PPRMS di sini pada petang Khamis.
Difahamkan, empat rumah tersebut terletak di kawasan Krokop, Piasau Jaya dan Piasau Utara dengan pelbagai masalah dihadapi termasuk bumbung bocor, isu anai-anai, kerosakan tangga dan keadaan rumah yang condong akibat kerosakan struktur sokongan.
Dalam pada itu, kesemua rumah terbabit telah selesai dibaik pulih menerusi inisiatif PPRMS ini di mana sebarang kerosakan telah dibaiki manakala terdapat juga rumah yang diperluaskan dengan ruangan dapur yang diperlukan.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Kapitan Chan Soon Tiong dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut Kelvin Hii Shin Yang. -EDISI UKAS