SABTU, 25 FEBRUARI 2023
SIBU: Press Metal Bintulu (PMB) Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mengukuhkan kerjasama bidang akademik dan industri.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kumpulan Press Metal Bintulu Sdn. Bhd Choa Wel Keong dan Naib Canselor UTS Professor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid di universiti tersebut pada Jumaat.
Ia turut disaksikan Timbalan Pengurus Besar PMB Low Kwong Fei dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS Prof. Ir. Dr Mohammad Shahril Osman dengan objektif MoU untuk membangunkan kerjasama dalam pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan antara kedua-dua pihak.
Choa dalam sidang media memberitahu, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada UTS kerana memberikan akses kepada kemudahan makmalnya termasuk Mikroskop Elektron Pengimbasan (SEM) sepanjang tempoh 2018-2021.
Katanya, sokongan UTS adalah penting dalam membolehkan mereka menjalankan pemeriksaan dan analisis produk yang seterusnya membantu dalam meningkatkan kualiti produk mereka.
“Memorandum Persefahaman (MoU) awal antara organisasi kami memudahkan penubuhan Program Pemacu Pengambilan pada tahun 2018.
“Kami gembira dapat bekerjasama dalam inisiatif ini dan kami percaya individu berbakat yang dihasilkan oleh Universiti Teknologi Sarawak (UTS) telah memainkan peranan penting dalam kejayaan organisasi Press Metal.
“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan lagi kerjasama akademik dan industri kami melalui inisiatif penyelidikan bersama, biasiswa, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), latihan amali dan peluang pekerjaan,” katanya.
Jelas beliau, dengan berakhirnya pandemik Covid-19, PMB tidak sabar-sabar untuk meneroka potensi kerjasama dengan UTS dan bersedia mendengar sebarang idea dan kemungkinan untuk pengajian akademik daripada komuniti universiti itu.
Bidang kerjasama antara UTS dan PMB tidak terhad kepada program akademik malah mencakupi pertukaran kakitangan dan pelajar, serta penyelidikan dan penerbitan bersama.
Dalam hal ini, PMB juga ingin membuka laluan serta peluang kepada pelajar UTS dalam bidang pekerjaan, tawaran pekerjaan dan latihan sambil bekerja serta kerjaya pembangunan.
Ini termasuk menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar UTS serta bersama-sama dalam menganjurkan atau mengambil bahagian dalam acara sosial CSR yang relevan dan menarik minat kedua-dua pihak. – EDISI UKAS