Tempoh 12 Bulan Pantau Keperluan Pengoperasian Klinik Komuniti Pujut

JUMAAAT, 24 FEBRUARI 2023

MIRI: Pengoperasian Klinik Komuniti Pujut kini diberi tempoh pemantauan sekitar 12 bulan untuk memastikan keperluan perkhidmatannya untuk masyarakat setempat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mencadangkan agar perkhidmatan klinik tersebut dipindah dan digabungkan dalam Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandaraya Miri yang bakal beroperasi pada Jun 2023.

“Setelah mengambil kira setiap aspek, kita berpendapat bahawa klinik komuniti ini patut diberi tempoh pemantauan lanjut selama 12 bulan.

“Kita akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan yang disediakan di sini supaya mereka boleh datang melawat jika ada keperluan sedemikian.

“Sekiranya bilangan kunjungan masih tidak meningkat menjelang 12 bulan seterusnya, mungkin klinik komuniti ini akan diserap ke klinik baharu itu mulai Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja rasmi ke Klinik Komuniti Pujut di sini pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Adam yang juga Datuk Bandar Bandaraya Miri menambah, sasaran dalam tempoh 12 bulan ini adalah untuk melihat kunjungan sekitar 40 orang sehari yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di Klinik Komuniti Pujut termasuk rawatan ringan, menstabilkan pesakit sebelum dirujuk ke hospital bagi kes kecemasan, perkhidmatan makmal menggunakan ‘point of care test’, pemberian ubat serta perkhidmatan nasihat dan promosi kesihatan kepada pesakit.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pegawai Perubatan Dr. Haniff Abdullah, Ahli Majlis Bandaraya Miri (Kawasan Pujut) Kaunselor Peter Chia Chhau Kiong dan Ahli Majlis Bandaraya Miri (Kawasan Krokop) Kaunselor Dr. Vincent Huang Huat Choon. -EDISI UKAS

add comment