Usahawan Wanita Digesa Rebut Peluang Dalam PCDS2030

SABTU, 25 FEBRUARI 2023

SIBU: Usahawan wanita digesa merebut pelbagai peluang yang wujud dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata PCDS 2030 memfokuskan kepada tiga tonggak penting iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan pembangunan mampan atau alam sekitar.

Katanya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak bergerak pantas dari segi pembangunannya dan dengan kemungkinan ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan, ia akan mewujudkan satu lagi peluang besar kepada usahawan.

“Jadi, saya rasa usahawan wanita harus merebut peluang ini terutamanya apabila kita bercakap tentang orang Asia yang terutamanya melibatkan satu pertiga daripada populasi dunia dan satu pertiga daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Semua ini adalah peluang yang besar dan Sarawak adalah negeri yang sangat berbeza kerana kita benar-benar fokus kepada ekonomi hijau dan ekonomi mampan.

“Kita mempunyai 67 taman negara yang telah diwartakan, antaranya termasuk Bako dan Semengoh. Jadi, anda boleh bayangkan potensi pelancongan potensi ekonomi hijau di Sarawak pada masa akan datang atau terdekat sehingga 2030.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Usahawan Wanita Borneo 2023 anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China di sini pada Sabtu.

Datu Hii ​​dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Dewan Perniagaan Malaysia-China kerana berjaya menganjurkan forum dua hari yang bermula hari ini hingga esok dengan menampilkan lapan penceramah tempatan dan antarabangsa.

“Saya fikir ini adalah satu inisiatif yang sangat baik terutamanya yang dimulakan oleh para usahawan wanita. 

“Saya mengalu-alukan kedatangan anda. Saya difahamkan terdapat 80 daripada anda yang berasal dari luar Sarawak. Selamat datang ke Sarawak,” katanya. – EDISI UKAS

add comment