AHAD, 26 FEBRUARI 2023
KAPIT: Lebih 160 orang hadir pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-46 Persatuan Pemilik Kedai Kopi Dan Restoran Malaysia-Singapura diadakan di sini pada Sabtu.
Ia turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat serta ahli-ahli Persatuan Kedai Kopi Kapit, Song, Sibu, Mukah, Bintulu, Sarikei dan ketua-ketua Masyarakat Komuniti Cina Pekan Kapit.
Dalam ucapannya, Jefferson berkata penduduk di Kapit yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama tetap hidup aman damai dan saling tolong-menolong mewujdukan keharmonian kaum di Kapit.
Malah katanya, penduduk Cina di Kapit sentiasa menyokong dan memberikan sokongan yang tinggi kepada beliau bukan hanya pada masa pilihanraya sahaja malah turut menyumbang idea bagaimana untuk meningkatkan lagi taraf ekonomi dan taraf hidup semua kaum di Kapit.
Beliau juga berharap para tetamu ahli persatuan kedai kopi yang datang dalam majlis itu kembali semula ke Kapit dan membawa berita bagaimana keadaan di Kapit sekembali mereka di tempat masing-masing kelak.
Beliau turut menasihatkan agar semua pemilik kedai kopi di Kapit menjaga kebersihan kedai masing-masing demi mengekalkan taraf kesihatan rakyat dan secara tidak langsung menjadi daya tarikan kepada penduduk dari luar kawasan Kapit.
Sebagai tanda sokongan, Jefferson mengumumkan sumbangan berbentuk geran kepada Persatuan Kedai Kopi Dan Restoran Kapit sebanyak RM10,000. – EDISI UKAS