Esplanade Limbang Fasa Pertama Telah Siap

AHAD, 26 FEBRUARI 2023

LIMBANG: Pembinaan Esplanade Limbang Fasa Pertama telah siap dan kini dalam proses penyerahan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, proses penyerahan kepada Majlis Daerah Limbang sedang dilakukan dan ia dijangka dapat digunakan seawal April 2023.

“Esplanade Limbang Fasa Pertama sudah siap dan sekarang dalam proses penyerahan kepada Majlis Daerah Limbang.

“Seawal-awalnya pada bulan April ini, ia mungkin sudah dapat digunakan,” katanya ketika merasmikan Limbang Motor Day 1.0 anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota di sini pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berpendapat esplanade tersebut nanti mampu menjadi satu lagi lokasi pilihan untuk penganjuran pelbagai program seperti mana disenaraikan dalam kalendar Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang.

Sementara itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota mengumumkan bahawa pembinaan Lapangan Rekreasi Limbang di tapak Lapangan Terbang Lama Limbang mendahului jadual asal dan dijangka siap pada tahun ini.

“Sekiranya projek ini dapat disiapkan awal, maka ia mungkin boleh dijadikan lokasi untuk penganjuran Limbang Motor Day 2.0,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut, Limbang Motor Day 2.0 dicadang untuk diadakan sekitar hujung tahun 2023 pada skala yang lebih besar.

“Program Limbang Motor Day 1.0 ini diadakan sebagai ‘warm up’, pada hujung tahun nanti kita akan adakan yang lebih besar dan akan diwar-warkan lebih awal kepada masyarakat luar supaya lebih ramai akan turut serta,’’ katanya lagi.

Limbang Motor Day yang diadakan buat julung kalinya mendapat sambutan meriah daripada belia tempatan serta kelab-kelab permotoran dari Sarawak, Sabah, Labuan dan juga negara Brunei Darussalam.

Pelbagai pengisian diadakan sepanjang penganjuran program dari 24 hingga 26 Februari ini termasuk ‘Bike Show’ untuk pelbagai kategori, pertandingan ‘Battle of The Bands’, persembahan daripada penyanyi tempatan dan artis jemputan, pertandingan gusti lengan, ceramah daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) serta aktiviti jual beli.

Hadir sama Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Naib Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot, Ketua Cawangan JPJ Limbang Abang Aien Abang Bolhil, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni dan wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit. -EDISI UKAS

add comment