JKKK Main Peranan Penting Salur Dasar Kerajaan Kepada Rakyat

AHAD, 26 FEBRUARI 2023

TANJONG MANIS: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan yang besar dalam membantu mentadbir di peringkat akar umbi bagi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, JKKK juga berperanan dalam membantu pembangunan di kawasan kampung dan luar bandar.

Katanya, pengurusan JKKK yang baik dan teratur akan memberi impak besar kepada rakyat di bawah jagaan setiap Ketua Masyarakat selain dapat menjamin kemajuan kampung sepertimana yang dimahukan.

“Seiring dengan kemajuan dunia sekarang terutamanya di era digital ini, para pemimpin di kampung-kampung juga harus mampu berdaya saing di dalam era digital ini kerana semua maklumat semakin senang untuk diperolehi dan dimanipulasi.

“Cara dan pendekatan dalam melaksanakan pembangunan dahulu dan kini tidak sama, malah turut mengalami perubahan yang cukup ketara dalam segala aspek,” katanya berucap semasa Sesi Taklimat & Dialog Pemimpin bersama Ketua Masyarakat (Zon Tanjung Manis) di Dewan IKS Tanjong Manis pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berharap semua pihak, tuai-tuai rumah, ketua-ketua masyarakat dan agensi kerajaan dapat bekerjasama bagi memastikan semua yang telah dirancang dapat dilaksanakan untuk keselesaan rakyat jelata.

Pada majlis itu, Seramai 17 orang Ketua Kaum bagi Daerah Tanjong Manis telah menerima sijil pelantikan yang disampaikan oleh Datuk Len.

Taklimat dan dialog ini diadakan bagi mengekalkan kerjasama rangkaian komunikasi antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.

Sebelum itu, ketua-ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah telah diberikan taklimat berkenaan tugas-tugas, peranan pemimpin di akar umbi serta polisi dan dasar-dasar kerajaan untuk disampaikan kepada rakyat di bawah jagaan masing-masing oleh Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Matu Zarina Sait.

Turut diadakan demonstrasi memadam kebakaran yang dikendalikan oleh Bomba Tanjong Manis diketuai oleh PBT 1 Awang Busrah Awang Mustapha.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat dan Tuai-tuai Rumah. – EDISI UKAS

add comment