SABTU, 25 FEBRUARI 2023
LUNDU: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak mengadakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (BEE) di Lundu Townsquare, di sini pada Sabtu dan Ahad, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Kempen dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) dan Majlis Daerah Lundu (MDL) ini adalah salah satu cara bagi menangani pelupusan BEE yang tidak terancang.
Dalam masa sama, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya BEE kepada alam sekitar dan mempromosikan kaedah pengendalian dan pelupusan BEE yang selamat dan mesra alam kepada komuniti setempat.
Ke arah itu, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan pihak kontraktor yang berdaftar dengan JAS mengumpul bahan BEE untuk dilupus atau dikitar semula dengan mematuhi peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
Untuk makluman, BEE merupakan peralatan elektrikal dan elektronik (komputer riba, komputer, pencetak, telefon bimbit, mesin basuh, pendingin hawa, peti sejuk dan yang berkaitan) di rumah, pejabat, industri atau premis yang telah rosak, usang dan tidak dapat digunakan lagi.
Justeru, untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi melupuskan buangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak di talian 082-482 535. -Edisi UKAS