ISNIN, 27 FEBRUARI 2023
MATU: Hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lepas menyebabkan beberapa kawasan kampung di Matu ditenggelami air.
Tinjauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Matu mendapati paras air naik dengan mendadak ekoran hujan lebat tanpa henti.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu Lt (PA) Jumaat Akasas, kebanyakan jalan kampung telah ditengalami air seperti Kampung Jemoreng, Kampung Sekaan Besar, pekan Matu, Kampung Bertong, Kampung Bawang dan Kampung Tian.
Katanya, tren air ini naik di luar jangkaan berdasarkan pemantauan pihak APM Matu di mana paras air di Kampung Jemoreng Hulu masih pada aras biasa pada petang semalam namun naik secara mendadak petang tadi.
Ujar beliau, paras air dijangka akan terus naik pada bila-bila masa kerana limpahan air sungai daripada hulu belum melimpah sepenuhnya.
Selain itu katanya, Kampung Sekaan Besar, Kampung Bertong serta pekan Matu perlu dalam keadaan berwaspada atas faktor limpahan air dari Kampung Tian, Kampung Bawang dan Kampung Jemoreng.
Justeru, beliau memohon semua penduduk terutama di kawasan yang rendah untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan paras air walaupun cuaca mendung.
Pihak APM juga memohon penduduk yang berada diluar kawasan untuk menghubungi saudara mara di kampung untuk memberikan info keadaan terkini rumah yang ditinggalkan dan membantu sekiranya perlu.
Sebarang kecemasan dan bantuan boleh menghubungi pihak APM Matu di talian 084-832208 secara 24 jam. – EDISI UKAS