Gunakan Geran UNIFOR Dengan Betul

ISNIN, 27 FEBRUARI 2023

SIBU: Penerima geran dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) diingatkan agar menggunakan bantuan itu sebaiknya untuk melaksanakan projek yang dinyatakan dalam permohonan mereka.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan berkata, terdapat kes penerima yang tidak menggunakan geran itu untuk melaksanakan apa yang mereka nyatakan dalam permohonan mereka.

“Biasanya kita menulis surat, kita memerlukan sejumlah dana untuk membina sesuatu di kawasan kita seperti infrastruktur. Jadi, pastikan dana itu digunakan untuk tujuan seperti dalam permohonan.

“Jangan nanti apabila peruntukan diterima, lain yang dibina. Selepas itu, apabila anda membuat permohonan lagi, anda memohon lagi dana untuk tujuan yang sama.

“Jadi, saya harap dana disalurkan oleh kerajaan negeri ini digunakan sebaik-baiknya kerana anda perlu menghantar laporan kepada UNIFOR mengenai dana yang telah digunakan,” ujarnya semasa Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Sekolah-Sekolah Mubaligh Sarawak 2022 (RC Diocese of Sibu) pada Ahad.

Menurutnya, bantuan dana Kerajaan Sarawak bagi tahun 2022 kepada Roman Catholic, Diocese of Sibu adalah sebanyak RM2,716,530.

Dari pecahan jumlah itu, terdapat 23 buah sekolah yang akan menerima manfaat bantuan dana ini antaranya Sekolah Mubaligh di Bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit.

“Bantuan dana ini disalurkan dalam membantu pihak Sekolah Mubaligh untuk mengurus, memperbaiki dan menaiktaraf keperluan prasarana sekolah.

“Ini merupakan kedua kalinya pihak UNIFOR mengadakan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana kepada Sekolah Mubaligh di Sarawak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu menambah, Sarawak merupakan sebuah negeri unik kerana Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah yang pertama menubuhkan UNIFOR.

Katanya, kerajaan negeri memahami keperluan kepelbagaian rakyat di Sarawak dan menyeru mana-mana organisasi yang memerlukan bantuan utnuk memohon.

“Kerajaan Negeri merupakan satu-satunya dalam Malaysia yang memberi peruntukan dana kepada gereja, sekolah mubaligh atau agama bukan Islam melalui UNIFOR dan ianya tidak terdapat di Semenanjung Malaysia.

“Saya juga berharap peruntukan untuk UNIFOR akan ditambah dari tahun ke tahun supaya kita dapat membantu lebih ramai badan agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah yang memerlukan,” jelasnya.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata perpaduan telah lama wujud di Sarawak meskipun rakyatnya terdiri daripada 31 etnik.

Hal ini kerana, rakyat Sarawak akan menangani masalah yang timbul seperti sebuah keluarga, katanya.

“Salah satu perkara yang amat penting juga adalah rasa hormat. Kita perlu menghormati antara satu sama lain, jika kita ada rasa hormat, maka kita akan faham cara hidup agama yang lain,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat berkata Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk Sekolah Mubaligh di Sarawak bagi tahun 2022.

Katanya, Sarawak kini mempunyai sebanyak 127 buah Sekolah Mubaligh. – EDISI UKAS

add comment