ISNIN, 27 FEBRUARI 2023
SARIKEI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan mata dan telinga kerajaan untuk memastikan isu yang timbul samada kebajikan, keselamatan, ekonomi dan sebagainya dibawa ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya di peringkat KMKK tidak dapat diselesaikan.
Dalam hal ini, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh menegaskan apa jua isu yang timbul, jangan hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak tertentu kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah.
Sebaliknya jelas beliau, apa yang penting ialah kerjasama antara semua agar isu dapat diselesaikan dengan segera.
“KMKK adalah mata dan telinga kerajaan untuk memastikan isu yang timbul samada kebajikan, keselamatan, ekonomi dan sebagainya perlu dibawa ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya di peringkat KMKK tidak dapat diselesaikan,” katanya berucap merasmikan penangguhan Sesi Taklimat & Dialog Pemimpin, Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (Zon Sarikei) di Dewan Suarah Sarikei pada Ahad.
Berucap lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu menambah peralihan kuasa yang teratur samada di peringkat tertinggi mahupun di akar umbi dapat memastikan semua pelaksanaan pembangunan berjalan secara teratur dan diteruskan.
“Kita di Sarawak ini beruntung kerana peralihan kuasa di peringkat tertinggi cukup jelas bagaimana peralihan berjalan dengan teratur dan tersusun serta dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan polisi serta dasar kerajaan termasuk pembangunan yang konsisten.”
Seramai 200 orang Ketua-ketua Masyarakat dan Tuai-tuai Rumah hadir pada Majlis Taklimat dan Dialog Pemimpin terebut.
Pada majlis tersebut Pegawai Daerah Sarikei Kathreen Lalai Eddie Saga telah menyampaikan taklimat khusus berkaitan peranan dan penglibatan KMKK dalam segala aspek samada menyampaikan maklumat dasar-dasar kerajaan ataupun menyalurkan isu-isu rakyat kepada agensi kerajaan berkaitan selain menghebahkan maklumat terbaru terus ke peringkat akar umbi.
Katanya, peranan KMKK amat penting seumpama jambatan yang menghubungkan rakyat dan pemimpin serta kerajaan supaya jaringan perhubungan ini berjalan lancar serta efektif.
Pada majlis sama, Datuk Len turut menyampaikan sijil pelantikan kepada beberapa KMKK baru. – EDISI UKAS