ISNIN, 27 FEBRUARI 2023
BINTULU: Penjawat awam perlu sentiasa berdisiplin dan komited dalam melaksanakan pelbagai tugasan yang diberikan.
Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti memberitahu, penjawat awam harus mempunyai pengetahuan yang luas serta mempelbagaikan kemahiran dan tidak hanya tertumpu dalam satu bidang sahaja.
Tegasnya, tingkah laku dan keterampilan diri penjawat awam juga mesti dijaga pada setiap masa.
“Kita perlu sama-sama mencari jalan untuk memperbaiki kelemahan diri supaya dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh dedikasi.
“Kerjasama juga harus dipertingkatkan untuk mewujudkan satu pasukan yang mantap khasnya bagi memperkukuhkan pentadbiran bahagian Bintulu,” katanya dalam Sesi Serah Tugas Timbalan Residen Bahagian Bintulu di pejabatnya di sini pada Isnin.
Untuk rekod, Abang Zainudin Abang Turkey akan memegang jawatan sebagai Timbalan Residen Bahagian Bintulu baharu bagi menggantikan Hussaini Hakim yang akan bertugas di tempat lain.
Dalam pada itu, Nyurak menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Hussaini atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau menggalas jawatan berkenaan.
Beliau juga berharap agar semua pegawai di Pejabat Residen Bahagian Bintulu terus memberi kerjasama kepada Abang Zainudin. -EDISI UKAS