Pesta Bubuk Miri Sebagai Acara Tahunan Dalam Kalendar Pelancongan Miri

ISNIN, 27 FEBRUARI 2023

MIRI: Pesta Bubuk Miri dapat menjadi salah satu program tahunan dalam Kalendar Acara Pelancongan Bandaraya Miri pada masa hadapan.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pesta tersebut merupakan satu aktiviti yang unik terutamanya untuk kawasan Miri dan mampu meningkatkan ekonomi tempatan.

“Kita boleh menyerlahkan pelbagai aktiviti berkaitan tangkapan bubuk, sejenis udang kecil yang hanya boleh didapati dalam kuantiti banyak di kawasan laut terutamanya di Miri pada bulan Februari dan Mac.

“Hasil bubuk ini boleh boleh dijadikan produk-produk seperti belacan, cencaluk dan juga cucur bubuk.

“Oleh itu, aktiviti ini boleh menjadi satu tarikan kepada pengunjung selain penduduk tempatan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dalam Majlis Perasmian Pesta Bubuk Miri 2023 di Tamu Kampung Batu 1, Kuala Baram pada Ahad.

Dato Sri Abdul Karim turut mencadangkan agar pihak penganjur meneroka kemungkinan mengadakan pesta tersebut pada skala lebih besar di masa akan datang dengan memanfaatkan kawasan Tanjung Batu 1 dan juga kawasan tarikan sungai sekitar Pangkalan Lutong.

“Majlis Bandaraya Miri telah membangunkan kawasan di Pangkalan Lutong itu menjadi sebuah esplanade sungai yang indah beberapa tahun lalu.

“Saya berasa bahawa kedua-dua kawasan ini pada asasnya adalah perkampungan nelayan pada masa lalu dan ramai penduduk kampung ini masih menjadi nelayan atau melakukan aktiviti berkaitan kawasan pinggir sungai atau pinggir laut berhampiran.

“Justeru, terdapat banyak potensi untuk menawarkan aktiviti yang menarik minat penduduk tempatan dan juga pengunjung dari luar negara,” ujarnya lagi.

Jelasnya lanjut, penganjuran semula acara Lumba Rakit Miri di Pangkalan Lutong juga boleh diterokai di mana ia mampu menjadi festival air yang setanding dengan Pesta Benak di Sri Aman dan Pesta Kaul di Mukah pada masa depan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengerusi Kawasan Tetap Pelancongan Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Warziedea Ahmad, Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Julaihi Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Abdul Rahman Taupek dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt. Mohd Sabri Zainol. -EDISI UKAS

add comment