294 Permohonan Kewarganegaraan Dilulus Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Di Negeri Sarawak

SELASA, 28 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebanyak 294 permohonan daripada 1,754 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang diterima di negeri Sarawak dari tahun 2016 hingga 2022 telah diluluskan.

“Dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia ini pula adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin memberitahu, proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen. -EDISI UKAS

add comment