SELASA, 28 FEBRUARI 2023
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama agensi berkaitan telah mengkaji mekanisma bagi penambahbaikan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof memberitahu, kajian tersebut dilakukan selaras dengan cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram.
Menurutnya, antara agensi terlibat dalam kajian itu ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), Lembaga Getah Malaysia dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Sehubungan itu ujarnya, kerajaan telah melaksanakan IPG sejak 2015 untuk mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah adalah rendah di pasaran di samping menggalakkan mereka untuk terus menjalankan aktiviti menoreh getah.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.-EDISI UKAS