SELASA, 28 FEBRUARI 2023
MIRI: Lebih 40 lampu jalan LED solar akan dipasang bagi menggantikan lampu yang agak usang di beberapa persimpangan Jalan Krokop di sini.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang memberitahu, projek pemasangan lampu LED solar itu menelan kos sebanyak RM300,000.
“Sebagai salah satu kawasan tinggal tertua dan paling sibuk di Miri, sistem lampu jalan sedia ada di Krokop adalah agak usang.
“Untuk meningkatkan kawasan ini, saya telah mengemukakan usul untuk menambah lampu jalan LED solar atau mengemas kini sistem lampu jalan yang sedia ada di beberapa persimpangan jalan di Krokop.
“Rancangan ini merangkumi lebih daripada 40 lampu jalan, dengan kos projek keseluruhan sebanyak RM300,000 dan dijangka siap dalam masa tiga bulan.
“Pengguna jalan di kawasan tersebut diminta berhati-hati semasa menggunakan jalan itu dan ketika projek sedang berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke lokasi projek pemasangan lampu berkenaan di sini pada Isnin.
Adam Yii turut memberitahu, projek itu adalah sebagai usaha ke arah bandar pintar yang diiktiraf oleh bandar Miri.
“Lampu LED solar mampu menghasilkan sinar yang lebih terang daripada lampu jalan sedia ada dalam keadaan yang lebih berkesan, lebih tenaga hijau dan lebih berkesan dalam perlindungan alam sekitar.
“Penjimatan elektrik boleh digunakan untuk membiayai projek lain, menjadikan seluruh bandar semakin cantik dan membolehkan warga bandar keluar pada waktu malam dengan lebih selamat dan mudah.
“Projek pemodenan ini juga telah menambah lampu jalan di beberapa kawasan yang kosong, menyelesaikan masalah keselamatan sebelumnya yang disebabkan oleh kekurangan cahaya di persimpangan jalan,” dedah beliau lagi.
Setelah mengunjungi lokasi, Adam Yii menyerahkan projek kepada kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.
Hadir sama Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Krokop Kaunselor Vincent Huang Huat Choon dan Ketua Pemuda SUPP Pujut Kelvin Hii Shin Yang.-Edisi UKAS