Penubuhan PBS Langkah Paling Sesuai Untuk Perkhidmatan Kebombaan Peringkat Awal Di Daerah Pusa

SELASA, 28 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di daerah Pusa adalah merupakan langkah yang paling sesuai pada masa ini dalam memastikan penduduk mendapat perkhidmatan kebombaan di peringkat awal.

Menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, perkara tersebut adalah berdasarkan kepada Kajian Perlindungan Kebakaran Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan skor risiko kebakaran yang dicatatkan bagi daerah Pusa adalah sebanyak tujuh markah.

“Pada masa kini, daerah Pusa adalah di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan jarak 60 kilometer yang mengambil masa lebih kurang 60 minit untuk sampai ke kawasan tersebut.

“Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku kecemasan di kawasan Pusa, pasukan bomba dari BBP Saratok akan memberikan respon awal dengan jarak 40 kilometer yang mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli pada persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.

Nga Kor Ming menambah, penubuhan pasukan tersebut akan diselaraskan oleh JBPM Negeri Sarawak melibatkan penglibatan dan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama ketua-ketua komuniti setempat. -EDISI UKAS

add comment