RABU, 1 MARCH 2023
SIBU: Budaya kreatif dan inovatif serta budaya pemikir dan pemikiran futuristik di luar kotak perlu digalakkan dan dipertingkatkan dalam kalangan warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan serba boleh.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat, warga pendidik perlu melakukan pelbagai usaha dalam membantu kanak-kanak sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut.
Ujarnya, ia juga penting bagi menyiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21.
Sehubungan itu, beliau berkata budaya kerja yang menggabungkan disiplin, tanggungjawab, integriti, profesional serta menjaga kerahsiaan perlu menjadi jati diri setiap kakitangan dan pegawai agar menjalankan tugas dengan jujur dan telus selain menerapkan elemen sentuhan kemanusiaan bagi menangani isu-isu tertentu di Tabika atau Taska.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam dan Anugerah Penerapan Bintang KEMAS Kapit 2022/2023 di Hotel Kingwood, Sibu pada Selasa.
Pelbagai anugerah telah diberikan kepada kakitangan KEMAS termasuk anugerah kepada seorang pesara yang telah berkhidmat selama 41 tahun di KEMAS.
Antara anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan RPH Terbaik (TABIKA / TASKA), Pengurusan RPH Terbaik (PKEM / PKOM) Pengurusan Aset Terbaik, Pengurusan Kewangan Terbaik, Pengurusan Dokumentasi Terbaik, Pengurusan Ruang Dapur Paling Kreatif Pengurusan Ruang Kelas Paling Kreatif, Taman Pintar Botani Terbaik, Pembantu Pendidik Masyarakat Terbaik, AJK Terbaik dan Pendidik Masyarakat Terbaik.
Dalam majlis itu, Jefferson Jamit menyatakan bahawa pemberian anugerah sebegini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang semata-mata.
Tambahnya, anugerah itu seharusnya menjadi penggerak transformasi dan peneraju perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan bekerja.
“Cemerlang bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi juga perkhidmatan yang bersih dan berintegriti.
“Semoga budaya kecemerlangan atau high performance culture dan momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” ucapnya.
Terdahulu beliau telah mengumumkan sumbang peruntukan sebanyak RM10,000 kepada pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kapit.
Hadir sama Pegawai KEMAS Bahagian Kapit, Leena Tero dan Pegawai KEMAS Daerah Kanowit Siti Ja’auyah Ismail.-EDISI UKAS