RABU, 1 MAC 2023
KUCHING: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee mengetuai penjurian bagi pertandingan mencipta logo sempena 60 tahun Sarawak Merdeka di sini pada Rabu.
Pertandingan mencipta logo telah berlangsung bermula pada 2 Februari lepas hingga 19 Februari 2023.
Pertandingan yang diadakan bertujuan memberi peluang untuk menonjolkan kreativiti dan mencungkil bakat rakyat Sarawak.
Jelas beliau, logo yang dipilih akan digunakan sebagai identiti rasmi 60 Tahun Kemerdekaan Sarawak yang akan dilancarkan pada 21 Mac 2023.
Seramai 297 orang telah menyertai pertandingan ini dengan jumlah 365 logo.
Pertunjukan mencipta logo berkenaan menampilkan persaingan hebat walaupun pertandingan berlangsung selama dua minggu.
Namun begitu, urusetia telah menyenarai pendek dengan memilih 49 logo terbaik.
Untuk rekod, hadiah yang ditawarkan kepada pemnang adalah pemenang pertama akan menerima hadiah utama bernilai RM5,000 dalam bentuk wang tunai dan sijil penyertaan.
Pemenang kedua akan menerima wang tunai RM4,000 dan sijil penyertaan manakala pemenang ketiga akan menerima wang tunai RM3,000 serta sijil penyertaan.
Manakala lima pemenang hadiah saguhati akan menerima wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan setiap seorang.
Selain itu, kepada semua peserta yang menyertai pertandingan itu masing-masing menerima sijil penyertaan.
Hadir sama dalam sesi penjurian adalah Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Samuel Simon, Timbalan Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Hamdan Sharbini, wakil Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak, Syazwan Abd Rahman, Pensyarah Teknologi Seni Reka UNIMAS, Natasha Rusdy Wong dan Ketua Pusat Pengajian Seni Lukis, Seni Reka, Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM, Asmah Alia. EDISI UKAS