RABU, 1 MAC 2023
MUKAH: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang bakal memberi kesejahteraan serta kemudahan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kontraktor yang melaksanakan projek tersebut harus mempunyai integriti dalam spesifikasi projek dan menyiapkan projek dalam tempoh yang dijadualkan.
“Agensi pelaksana juga perlu tegas dengan spesifikasi yang mereka telah sediakan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam pada itu, simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat Balingian Che Razali Arbi yang mewakili beliau kepada kontraktor di dua lokasi di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di Rumah Tawi, Temesu pada Selasa.
Katanya, dengan membaik pulih pembentung di Rumah Tawi, Jalan Mukah-Selangau, Daerah Mukah, Bahagian Mukah, penduduk Rumah Tawi dan Rumah Seli akan dapat menggunakan jalan tersebut dengan selamat.
Selain itu jelasnya, projek menaik taraf Balai Raya Kampung Sau, Daerah Mukah, Bahagian Mukah bakal memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Sau yang memerlukan tandas di premis tersebut.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Mukah, Dominic Ahjun dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah Anamaria Robert.-EDISI UKAS