MIPD, JKR Akan Terus Pantau Semua Projek Diluluskan

RABU, 1 MAC 2023

BETONG: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus memantau dengan teliti pelaksanaan semua projek yang diluluskan.

Menterinya yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata MIPD akan tegas dalam memantau dan menyelia projek-projek tersebut.

“Kami akan terus melakukan lawatan darat secara kerap untuk menyemak atau mengesahkan laporan kemajuan yang dihantar kepada kami.

“Apabila projek diluluskan dan diumumkan secara terbuka, rakyat sangat teruja untuk menggunakannya.

“Jadi kita perlu memastikan ia disiapkan mengikut kualiti dan jadual penghantaran yang dipersetujui,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak projek Jambatan Batang Saribas 1 dan Jambatan Batang Saribas 2 pada Rabu.

Menjelas lanjut, Datuk Amar Douglas sangat berpuas hati dengan kemajuan kedua-dua projek tersebut dan mahu ianya dapat disiapkan mengikut jadual.

Jambatan Batang Saribas 1 sepanjang 1.55 kilometer menelan kos sebanyak RM375.5 juta dijangka siap pada 22 Mei 2024 di mana kemajuan projek telah mencapai 62.51 peratus.

Manakala Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang 4.2 kilometer yang menelan kos sebanyak RM385 juta dijadual siap pada 24 Mei 2025 dengan kemajuan projek 12.19 peratus berbanding sasaran 11.22 peratus.

Apabila siap kelak Jambatan Batang Saribas 1 akan menghubungkan Jalan Beladin/Tanjung Lilin ke Pekan Pusa sementara Jambatan Batang Saribas 2 akan menghubungkan Jalan Maludam/Spinang Ke Roban/Saratok. – EDISI UKAS

add comment