RABU, 1 MAC 2023
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bergerak selangkah ke hadapan dengan penyampaian maklumat kepada rakyat negeri ini apabila melancarkan penerbitan Buletin UKAS Edisi Mandarin bermula Rabu.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee berkata, pelancaran produk baharu itu menunjukkan bahawa kerajaan Sarawak sememangnya sebuah kerajaan yang amat inklusif.
“Hari ini kita amat gembira dan bangga kerana UKAS telah melancarkan Buletin UKAS Edisi Mandarin.
“Sebelum ini kita ada Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban, dan hari ini kita telah melancarkan Edisi Mandarin pada setiap jam 6 petang.
“Jadi ini adalah satu langkah yang begitu menggembirakan yang menunjukkan bahawa kerajaan Sarawak adalah memang satu kerajaan yang amat inklusif yang memberi peluang untuk semua lapisan masyarakat Sarawak untuk memerhatikan apakah peristiwa yang akan berlaku setiap hari di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan rakaman pertama sempena pelancaran Buletin UKAS Edisi Mandarin di Studio UKAS di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengarah UKAS Samuel Simon Ketua Seksyen Berita dan Hal Ehwal Awam UKAS, Muller Asen dan Ketua Seksyen Pemantauan dan Pembangunan Komuniti UKAS Anwar Hanafi Ardimansyah.
Dalam pada itu, Datu Hii turut merakamkan ucapan tahniah kepada warga UKAS atas kejayaan mereka melahirkan produk baharu itu.-Edisi UKAS