Pembinaan Jambatan Batang Lupar Giat Dilaksanakan, Ikut Jadual Ditetapkan

RABU, 1 MAC 2023

SEBUYAU: Pembinaan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia iaitu Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848.7 juta sedang rancak dilaksanakan dan mengikut jadual.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan keseluruhan projek tersebut setakat ini.

“Saya percaya pihak kontraktor mampu menyiapkan pembinaan lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan iaitu pada 7 Julai 2025.

“Syarikat ini bekerjasama dengan China Railway Major Bridge Engineering Group Company Limited, sebuah firma pembinaan terbesar dan bereputasi tinggi di China,” ujarnya semasa melawat tapak projek itu di sini pada Rabu.

Datuk Amar Douglas bagaimanapun menambah, cuaca buruk dan keadaan laut bergelora baru-baru ini merupakan cabaran utama yang menjejaskan pembinaan jambatan sepanjang 4.8 kilometer itu.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) diiringi Setiausaha Tetap Kementeriannya Chiew Chew Yaw turut melawat projek Jambatan Batang Saribas 1 dan Batang Saribas 2 di sini.

Mengenai projek tersebut, beliau turut berpuas hati dengan kemajuan kedua-dua projek tersebut. 

Jambatan Batang Saribas 1 sepanjang 1.55 kilometer menelan kos sebanyak RM375.5 juta dijangka siap pada 22 Mei 2024 di mana kemajuan projek telah mencapai 62.51 peratus.

Manakala Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang 4.2 kilometer yang menelan kos sebanyak RM385 juta dijadual siap pada 24 Mei 2025 dengan kemajuan projek 12.19 peratus berbanding sasaran 11.22 peratus.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Ir Ts Cassidy Morris. – Edisi UKAS

add comment