RABU, 1 MAC 2023
SPAOH: Para peniaga di Sarawak secara amnya kurang mendapat pendedahan akan kepentingan kaedah pembayaran atau pembelian tanpa tunai.
Sehubungan itu, Agrobank Cawangan Betong telah mengadakan Program Taklimat Cashless Payment Bersama Penduduk Kawasan Betong dan Spaoh bertujuan memberi pendedahan berkaitan peluang mengembangkan lagi perniagaan melalui pembiayaan yang ditawarkan oleh Agrobank.
Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkesempatan meninjau program taklimat tersebut di Pejabat Daerah Kecil Spaoh pada Rabu.
Selepas selesai, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban meluangkan masa menyantuni para peserta dan pihak penganjur program.
Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Agrobank Wilayah Sarawak Abdul Halek Abdullah dan Ketua Perkhidmatan dan Pemasaran Agrobank Wilayah Sarawak Kamil Paidar.
Difahamkan, para peserta program merupakan dari kalangan ketua masyarakat, ketua kaum, tuai rumah, kapitan, kaunselor, pengerusi peniaga dan penjaja, peniaga-peniaga, pengerusi Chinese Chamber of Commerce dan lain-lain.
Turut hadir Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Lister Clement Guwie, Pengurus Agrobank Cawangan Betong Kamil Sitam dan Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Kecil Spaoh Dalcia Ceria.-EDISI UKAS