RABU, 1 MAC 2023
INDONESIA: Penyertaan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam pembangunan projek Empangan Kuasa Hidroelektrik (HEP) Mentarang di Kalimantan Utara, Indonesia merupakan langkah hadapan yang penting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pelaburan SEB dalam projek tersebut merupakan perbelanjaan strategik bagi meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa ekonomi serantau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Empangan HEP Mentarang yang disempurnakan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo di sini pada Rabu.
Projek tersebut disifatkan sebagai projek nasional yang strategik dan terbesar di Indonesia.
Terdahulu, Joko memberitahu, projek itu mencerminkan semangat kerjasama yang kuat antara rakyat Indonesia dan Malaysia sebagai negara jiran di mana kedua pihak mempunyai budaya yang lebih kurang sama.
Justeru, beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan penuh masyarakat setempat yang kebanyakannya terdiri daripada suku Punan dan Lun Dayeh terhadap projek itu dengan ia diharapkan dapat meningkatkan taraf ekonomi tempatan.
Difahamkan, projek itu akan membekalkan kuasa kepada industri tempatan di Kalimantan Utara dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Manakala, SEB mempunyai 25 peratus ekuiti dalam syarikat induk mengendalikan projek terbabit di mana ia mempunyai dua pemegang saham lain iaitu PT Kayan Patria Pratama (25 peratus) dan PT Adaro Energy Indonesia Tbk (50 peratus).
Premier Sarawak dan rombongannya tiba di Indonesia melalui Tarakan semalam atas jemputan konsortium pelabur untuk menyaksikan program pecah tanah projek tersebut yang akan membangunkan HEP bernilai USD2.6 bilion dan menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 1,375 megawatt (MW).
Turut menemani beliau ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni. -Edisi UKAS