RABU, 1 MAC 2023
TELLIAN: Prestasi kontraktor amat dititik beratkan dalam pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, beliau tidak mahu kelewatan projek siap dan projek sakit merencatkan perancangan jangka masa panjang pembangunan di kawasan Tellian.
“Sistem merit sesuai digunapakai bagi memantau prestasi kontraktor-kontraktor berkaitan.
“Selain itu, kepatuhan terhadap spesifikasi juga menjadi keutamaan agar projek tersebut akan dapat dimanfaat oleh rakyat dengan sebaiknya bagi mengelakkan wujudnya projek gajah putih,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam pada itu, simbolik penyerahan projek RTP telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat Tellian Jay Keram yang mewakili beliau kepada kontraktor di tiga lokasi di bawah DUN Tellian.
Antara tiga projek RTP tersebut adalah naik taraf kawasan perkuburan Kampung Tellian Ulu, Daerah Mukah, Bahagian Mukah, naik taraf kawasan perkuburan Kampung Tellian Tengah, Daerah Mukah, Bahagian Mukah dan baik pulih Dewan Serbaguna Kampung Penat Daerah Dalat, Bahagian Mukah.
Justeru beliau berharap agar semua projek RTP 2022 yang mula dilaksanakan pada tahun ini siap tepat pada masanya mengikut garis masa yang telah ditetapkan oleh agensi pelaksana.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Mukah, Dominic Ahjun dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah Anamaria Robert.-EDISI UKAS