RABU, 1 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha menyediakan kemudahan pendidikan yang sempurna dan kondusif bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, projek pembinaan gantian penuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Rolling Plan 1 tahun 2016 kini berada pada peringkat penyediaan rekabentuk.
Jelasnya, skop projek itu meliputi pembinaan 36 bilik darjah, asrama untuk 500 pelajar dan lain-lain kemudahan dengan kos berjumlah RM95,764,300 dan tempoh pembinaan adalah selama 36 bulan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli pada persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa.
Fadlina menambah, terdapat keperluan untuk mengubah rekabentuk projek berkenaan kepada rekabentuk seismik selaras dengan Peta Zon Bencana Seismik Malaysia Bagi Pengurusan Bencana yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia.
“Ini menyebabkan berlaku peningkatan kos. Permohonan peningkatan kos ini akan diangkat kepada pihak Kementerian Ekonomi untuk kelulusan dan projek ini dijangka akan ditender pada awal Jun 2023.
“KPM komited dalam menyediakan infrastruktur yang selamat termasuk memastikan rekabentuk bangunan adalah selamat dan menepati skop pembinaan,” katanya. -EDISI UKAS