RABU, 1 MARCH 2023
BETONG: Projek pembinaan jalan dari Kampung Suri ke Kampung Tuie kini berada pada fasa terakhir.
Penduduk yang tinggal di sekitar dari Kampung Tuie, Kampung Serabang dan sekitar kini akan lebih cepat untuk ke Daerah Kecil Debak apabila siapnya jalan ini kelak.
Terdahulu, penduduk dari kedua-dua buah kampung iaitu dari Debak mahupun dari Kampung Tuie terpaksa melalui jalan dengan jarak sejauh 40km, namun apabila siapnya jalan Suri-Tuie ini kelak akan memendekkan jalan hanya dengan 10km untuk menghubung dua daerah tersebut.
Projek Rakyat yang memakan kos sebanyak RM45 juta ini merupakan salah satu daripada projek yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Tuie pada 2018.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam semasa dihubungi memaklumkan bahawa selain dari tujuan untuk memendekkan jarak Kampung Tuie dan Debak, ia juga merupakan salah satu projek jangka panjang yang bakal dirancang di kawasan tersebut.
created by dji camera
Ujarnya, Saribas Agropark merupakan salah satu daripada agenda dan pelan projek jangka masa panjang terutamanya untuk penduduk di sekitar sini, selain untuk merapatkan jarak Kampung di Tuie, Serabang dan Debak.
“Salah satu potensi yang kita lihat di kawasan ini ialah dalam bidang pertanian. Saribas mampu untuk menjadi salah satu daripada pengeluar sumber pertanian dibawah nama Saribas Agropark.
“Ini penting bagi memastikan agar penduduk yang di kawasan Saribas akan turut serta dalam rancangan Food Basket pada suatu hari nanti,” katanya.
Dari sudut sosio ekonomi pula, beliau mengulas bahawa dengan siapnya jalan ini semestinya akan meningkatkan kuasa beli pengguna terutamanya bagi penduduk kampung yang terlibat dalam perusahaan kecil-kecilan.
Oleh sebab itu beliau menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya di Kawasan Daerah ini agar mengambil peluang sebaiknya untuk bergiat aktif dalam perusahaan.
Projek Jalan yang menghubung kedua-dua Daerah Debak dan Daerah Pusa ini telah menghampiri penghujung fasa pembinaan dengan status 90 peratus siap.