RABU, 1 MAC 2023
BINTANGOR: Semangat perpaduan kaum harus disemai oleh semua lapisan masyarakat di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, antara keunikan penduduk rumah panjang adalah saling membantu antara satu sama lain apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan bahan binaan kepada 18 pintu rumah mangsa kebakaran Rumah Panjang Dangat Sungai Kawi Bintangor pada Selasa.
Jelasnya lagi, beliau memuji penduduk Rumah Panjang Dangat yang bergotong-royong dalam membina rumah tersebut dan ada yang sanggup memberi ruang untuk mangsa kebakaran tinggal bersama untuk sementara waktu.
Justeru, beliau berharap semangat kerjasama antara satu sama lain harus diteruskan oleh generasi muda di setiap rumah panjang.
Difahamkan, bahan binaan tersebut telah disalurkan melalui Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor untuk mangsa kebakaran mendirikan rumah sementara waktu bagi mereka menjalankan aktiviti harian.
Turut hadir Setiausaha Parti SUPP Cawangan Bintangor, Kanselor Lau Sie Hing, Bendahari Parti SUPP Cawangan Bintangor, Kaunselor Lee Ngin Soon dan Kapitan Wong Leh Hee.-EDISI UKAS