RABU, 1 MARCH 2023
PAKAN: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) telah menyumbangkan Set Komputer dan Alat Pendingin Hawa kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pakan pada program Sambutan Jubli Emas ke 50 tahun.
Bertepatan dengan sambutan Jubli Emas yang julung kali diadakan ini, beberapa program telahpun dirancangkan oleh pihak urusetia untuk dianjurkan di peringkat negeri, cawangan dan juga unit SABERKAS.
Antara tujuan utama penganjuran Sambutan Jubli Emas ini adalah bagi meraikan serta menyemarakkan semangat sambutan agar ianya dirasai oleh setiap warga SABERKAS khasnya dan masyarakat secara keseluruhannya.
Di samping itu juga, sambutan ini adalah bertujuan untuk menghargai sumbangan SABERKAS selain sebagai satu penzahiran kebanggaan menjadi ahli SABERKAS.
Melalui teks ucapan Presiden Saberkas yang dibacakan oleh Naib Presiden SABERKAS Abang Abdul Aziz Datuk Abang Abdul Rauf memaklumkan, SABERKAS telahpun mencapai usia 50 tahun penubuhannya dan pastinya banyak perjalanan, pengalaman serta begitu banyak sumbangan yang telah ditaburkan oleh warga SABERKAS pada pelbagai peringkat sama adanegeri, cawangan dan sehinggalah ke peringkat unit atau kampung.
Ucapnya lagi, meniti era perubahan semenjak 1970-an sehinggalah 2023 ini, SABERKAS begitu cemerlang dalam kegigihannya, kesungguhan serta konsisten dalam memainkan peranannya bersama kerajaan negeri Sarawak untuk meneruskan serta membangunkan agenda pembangunan belia Sarawak khasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Saberkas Prihatin Khas sempena Sambutan Jubli Emas Saberkas, bertempat di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK Pakan) pada Selasa.
Sehubungan itu, Abang Abdul Aziz juga memaklumkan bahawa sambutan yang amat baik dari para belia untuk menyertai Saberkas dan sehingga kini seramai 53 ribu ahli baru telah didaftarkan melalui program-program yang dijalankan seluruh negeri.
“Untuk makluman PPDK Pakan ditubuhkan pada 25 Februari 2009 dan beroperasi sepenuhnya pada 16 Disember 2010 dan kini pelatih PDK yang berdaftar ialah 17 orang, 12 lelaki 5 perempuan, manakala kakitangan PDK sebanyak 3 orang, 1 penyelia dan 2 orang petugas.
“Dari keseluruhan pelatih yang sedia ada, 16 orang pelatih berada di PPDK dan seorang pelatih di rumah iaitu Ambrozius Harold Anak Martin yang berusia 5 tahun kategori ‘Cerebral Palsy’ sejak lahir.”
Hadir sama ialah Pemangku Pegawai Daerah Pakan Yalin Asan, Pegawai Kebajikan Bahagian Sarikei Uwieng Gimas, Setiausaha Politik Premier Sarawak Brian Fung dan Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Pakan, yang juga Pengerusi SABERKAS Pakan Ting Kiew Ming.-EDISI UKAS