RABU, 1 MAC 2023
INDONESIA: Sarawak bersedia berkongsi pengalaman dengan negara jiran dalam bidang penjanaan tenaga boleh diperbaharui untuk mendapat manfaat bersama dari segi kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak mempunyai keupayaan untuk membantu berdasarkan pengalaman membangunkan tiga stesen hidro sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah antara rombongan dari Sarawak dan pemerintah Kabupaten Malinau di Kalimantan Utara, Indonesia pada malam Selasa.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, sebagai sumber tenaga terbesar di Malaysia, Sarawak telah membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat dan seterusnya penyaluran ke Sabah dan Brunei.
Premier Sarawak serta rombongan tiba di Malinau melalui bandar Tarakan di Kalimantan Utara atas jemputan pengurusan PT KHN yang akan membangunkan stesen jana kuasa hidro terbesar di Indonesia di Sungai Mentarang yang terletak 35 kilometer dari Malinau.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau memberitahu, projek tersebut akan menarik lebih banyak pelaburan ke Kalimantan Utara, sekaligus mempertingkatkan ekonomi wilayah itu yang beliau anggap sebagai negara yang mempunyai persamaan budaya yang begitu dekat dengan Sarawak.
Difahamkan, Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad merupakan rakan kongsi dalam projek tersebut yang akan menghasilkan 1,375 MW tenaga eletrik untuk zon industri di Kalimantan Utara.
Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo akan melakukan upacara pecah tanah projek strategik tersebut pada Rabu dengan projek tersebut dijangka menelan kos berjumlah USD2.6 bilion.
Difahamkan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada suku pertama tahun 2024 yang dijangka siap pada akhir tahun 2029 dan beroperasi penuh pada tahun 2030.-EDISI UKAS