Bahagian Miri Semarakkan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Sarawak

RABU, 1 MAC 2023

MIRI: Pelaksanaan setiap program atau aktiviti di bahagian Miri perlu disertakan dengan kapsyen Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Sarawak Merdeka. 

Menurut Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, hal ini membolehkan masyarakat setempat merasai serta mendalami makna di sebalik sambutan ulang tahun tersebut. 

“Pelbagai program dan aktiviti pelancongan kini telah dirangka dan bakal dilaksanakan sepanjang tahun melibatkan semua daerah di bawah bahagian ini iaitu Miri, Subis, Marudi, Beluru dan Telang Usan. 

“Acara-acara tersebut akan dianjurkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pelancongan (TTG) Bahagian Miri Bilangan 1 di sini pada Selasa. 

Abdul Aziz turut mengesahkan bahawa jumlah kemasukan pelancong ke bahagian Miri adalah luar biasa pasca COVID-19. 

“Memandangkan trend percutian pelancongan semakin meningkat, TTG Miri kini mengambil inisiatif pelan jangka masa pendek dan juga pelan jangka masa panjang untuk mengindahkan ‘Point of Entry’ (POE) ke bahagian Miri, sekaligus dapat memberikan imej yang baik kepada pelancong yang berkunjung ke sini,” katanya lagi. 

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Nasir Lariwoo berkata, kementeriannya turut menyediakan geran sokongan bagi penganjuran acara, pesta, industri kreatif dan seni persembahan yang dilaksanakan bermula awal tahun sehingga penghujung tahun 2023. 

“Geran sokongan ini bertujuan untuk memastikan penganjuran program berkaitan dapat memberi impak memberangsangkan selari dengan inisiatif Pelan Tindakan dan Pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. 

“Maklumat berkaitan permohonan geran sokongan ini boleh didapati di laman web MTCP,” ujarnya lagi. 

Jawatankuasa Kerja Kumpulan Pelancongan Bahagian Miri dipengerusikan oleh Abdul Aziz manakala ahli lain terdiri daripada Timbalan Residen Bahagian Miri selaku Timbalan Pengerusi, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Miri selaku Setiausaha, Akauntan Majlis Bandaraya Miri selaku Bendahari dan ahli-ahli jawatankuasa pula merupakan jabatan dan agensi di bawah pentadbiran bahagian Miri.

Antara peranan dan tugas jawatankuasa itu merangkumi penyelarasan aktiviti pelancongan dengan agensi lain, merumus perancangan untuk aktiviti pelancongan di Miri, bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk memastikan keselamatan pelancong, menaiktaraf dan mengekalkan infrastruktur (kemudahan awam) pelancongan sedia ada dan melaksanakan tugasan di bawah MTCP. 

Turut hadir Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusuf, Ketua Seksyen Perancangan Strategik dan Pelaksanaan Projek Pejabat Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang serta wakil-wakil dari jabatan dan agensi di bawah TTG Miri. -EDISI UKAS 

add comment