KHAMIS, 2 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,906 tapak 5G telah siap dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh negara setakat 31 Disember 2022.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 47.1 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk di seluruh negara.
“Jumlah peratusan ketersediaan rangkaian 5G ini adalah termasuk tapak-tapak pemancar 5G yang telah diaktifkan oleh DNB tetapi belum boleh diakses pengguna (infrastruktur tersedia).
“Jika dilihat pada tapak 5G yang boleh diakses pengguna sahaja, ketersediaan perkhidmatan 5G berada pada 38.2 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Ahmad Fahmi memaklumkan juga, kementeriannya sentiasa mempertingkatkan inisiatif pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2022) dan Fasa 2 (2023-2025) yang merapatkan jurang capaian jaringan dan liputan internet di seluruh negara yang sedang diperluaskan secara berperingkat.
“Sebanyak 7.7 juta premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap, melebihi daripada jumlah 7.5 juta premis sebagaimana yang disasarkan.
“Bagi jalur lebar mudah alih pula, pencapaian liputan setakat suku keempat 2022 adalah 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, sebagaimana yang disasarkan.
“Selain itu, kadar muat turun jalur lebar mudah alih telah mencapai 116.03Mbps berbanding sasaran asal sebanyak 35Mbps,”jelasnya.
Beliau juga menambah, Kementerian Komunikasi dan Digital juga telah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit di 839 lokasi di kawasan pedalaman di seluruh negara.
Katanya, ia pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2023 di dalam JENDELA Fasa 2 yang berjaya disiapkan sepenuhnya di dalam JENDELA Fasa 1 pada tahun 2022.-Edisi UKAS