RABU, 1 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Jalan-jalan balak di kawasan Baram yang sekian lama terabai perlu dibaiki segera bagi memudahkan perhubungan serta meningkatkan akses penduduk luar bandar ke bandar.
Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau berkata, kemudahan jalan yang baik dapat membantu penduduk terutama pesakit mahupun warga emas untuk pergi ke pusat bandar bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memohon peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan untuk membaik pulih jalan-jalan balak di luar bandar Sarawak terutama di kawasannya supaya tiada lagi isu mengenai pembangunan tidak seimbang dibangkitkan pada masa akan datang.
“Masa hujan, licin. Masa kemarau, berdebu. Inilah keadaan yang kita hadap di jalan balak kawasan Baram.
“Dulu mungkin ada syarikat balak yang baiki tapi sekarang sudah kekurangan balak, jadi semua jalan-jalan terabai.
“Maka dengan ini saya ingin mencadang dan merayu kepada pihak berkenaan daripada kerajaan hari ini supaya melaksanakannya,”katanya semasa membangkitkan isu tersebut dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu jalan-jalan balak utama yang dimaksudkan adalah jalan Lapok ke Kilo 10 terus ke Bario menuju ke Long Jekitan, termasuk jalan dari Pekan Lapok ke Long Loyang.-Edisi UKAS