KHAMIS, 2 MAC 2023
DEBAK: Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diingatkan agar sentiasa bersiap siaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, faktor keselamatan penduduk merupakan keutamaan kerajaan negeri apabila berlakunya banjir.
“Kepada mereka yang mungkin duduk di tempat yang selalu banjir, mereka diminta untuk bersiap siaga dan sekiranya ada arahan untuk berpindah, mereka mesti berpindah.
“Kita minta mereka berpindah supaya mereka selamat. Kalau mereka duduk di rumah ketika berlakunya banjir dan paras air naik, maka ia akan mengancam nyawa mereka.
“Keselamatan penduduk yang terkesan akibat banjir adalah keutamaan utama kami,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke PPS Dewan Millenia di sini pada Khamis.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas dan Pegawai Daerah Betong Alfred Geling Ason.
Selain itu, Datuk Amar Douglas Uggah juga memberitahu, PPS Dewan Millenia telah dibuka pada jam 9 malam Rabu berikutan banjir yang melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Lalang, Kampung Babu dan Kampung Bungey.
Katanya, PPS berkenaan menempatkan seramai 51 buah keluarga melibatkan 213 orang mangsa.
Ujar beliau, semua jabatan dan agensi kerajaan yang merupakan ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Bahagian turut bersama menggembleng tenaga untuk memastikan mangsa dibantu dan memberi keselesaan apabila mereka ditempatkan di PPS berkenaan.
“Memang keadaannya tidak seperti di rumah, tapi kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan mereka selesa dan mendapat makanan, minuman serta perubatan sekiranya diperlukan.
“Kita sudah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat perancangan bagaimana hendak menentukan bahawa bayi-bayi yang ada di sini mendapat susu formula yang sesuai untuk mereka,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS