Industri SBSR Sarawak Terus Berkembang

KHAMIS, 2 MAC 2023

MIRI: Industri pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBSR) di negeri ini terus berkembang dan menerima pakai reka bentuk inovatif serta mutu kerja berkualiti yang memenuhi piawaian dunia.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, industri tersebut telah menjana nilai eksport yang tinggi untuk Sarawak walaupun menghadapi pelbagai sekatan disebabkan penularan wabak COVID-19.

“Berdasarkan statistik, industri ini di Sarawak telah menjana eksport bernilai RM260 juta pada 2020, RM345 juta pada 2021 dan RM339 juta pada 2022.

“Kapal-kapal tersebut telah dieksport ke negara seperti Australia, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Ini membuktikan kualiti tinggi dan keupayaan teknikal pembuat kapal tempatan di negeri ini,” katanya dalam Majlis Tamat Kursus Marine Deck Apprentice & Marine Engine Rating anjuran Institut Latihan Maritim Pelita Maslaut di sini pada Khamis.

Datuk Amar Awang Tengah menambah, industri maritim merupakan antara aspek pertumbuhan utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan Sarawak bermatlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menyambut baik penganjuran program latihan seumpamanya yang mampu melahirkan tenaga kerja tempatan untuk menceburkan diri dalam industri tersebut.

“Sebab itu, pembangunan modal insan begitu penting supaya kita tidak akan terus bergantung kepada tenaga kerja asing,” katanya lagi.

Manakala ujarnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan untuk memperkasakan industri SBSR di sini terutamanya dalam aspek seperti pembangunan kemahiran keusahawanan dan juga pendedahan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian sijil tamat latihan kepada sejumlah 46 peserta untuk kedua kursus ‘Marine Engine Rating’ dan ‘Maritime Deck Apprentice’.

Turut hadir ialah Penasihat (PKS) MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli dan Pengarah Urusan Kumpulan Pelita Maslaut Sdn Bhd Masni Amit. -EDISI UKAS

add comment