Kabong Potensi Besar Sebagai Produk Pelancongan Baharu

KHAMIS, 2 MAC 2023

KABONG: Kawasan Kabong mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan baharu untuk mempromosikan Sarawak dalam bidang pelancongan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata infrastruktur di Kabong juga dilihat semakin meningkat dan banyak berubah. 

‚ÄúPembangunan kawasan Pantai Kabong ini adalah hasil usaha semua lapisan masyarakat terutama pemimpin-pemimpin utama Di Kabong.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kabong International Kite Festival (KIKF) 2023 di Dewan Terbuka Pantai Tanjong Kembang pada Khamis.

Selain dari melonjak nama Sarawak di pentas dunia dalam pelancongan, jelas beliau acara seperti ini juga dapat memberi impak ekonomi kepada masyarakat tempatan khasnya.

Justeru, beliau bersetuju sekiranya KIKF boleh disenaraikan dalam Kalender Pelancongan Sarawak dan diadakan setiap tahun.

Dalam pada itu, KIKF 2023 kali ini berjaya menarik minat 36 negara luar yang turut sama menyertai festival ini yang menyaksikan pertambahan peserta setiap tahun.

Untuk rekod, pada 2018 hanya 10 negara yang mengambil bahagian manakala pada 2019, sebanyak 30 negara mengambil bahagian.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir, Presiden Majlis Pelayang Malaysia Dato Abdul Rahim Nin, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik dan Timbalan Residen Bahagian Betong Mahra Salleh.-EDISI UKAS

add comment