MOSTI Bangunkan Teknologi Tangani Krisis Perubahan Iklim

KHAMIS, 2 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) membangunkan teknologi-teknologi bagi menangani krisis perubahan iklim.

Menterinya Datuk Seri Chang Lih Kang berkata, teknologi berkenaan adalah untuk pengesanan awal atau pencegahan ancaman bencana di Malaysia.

“Antaranya ialah pengaplikasian teknologi satelit untuk membangunkan sistem pemetaan keluasan kawasan-kawasan berisiko banjir di seluruh negara dan memantau pergerakan tanah di kawasan berisiko bencana atau kawasan kejadian bencana,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Selain itu, Datuk Seri Chang juga memaklumkan, MOSTI telah menubuhkan satu Pusat Kolaborasi Teknologi (PKT) dalam membantu penyelesaian isu semasa negara sebagai contoh isu bekalan makanan, dengan mengetengahkan penyelesaian berlandaskan teknologi. 

Ujar beliau, pelbagai usaha telah dan sedang giat dilaksanakan merangkumi perbincangan bersama pihak berkepentingan, aktiviti lawatan kerja dan lain-lain sebagai usaha MOSTI untuk mencari solusi dalam menangani isu jaminan makanan. 

Tambahnya lagi, melalui inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) pula, MOSTI turut mengkaji pelbagai kaedah penggunaan teknologi dalam pertanian seperti dron dan robotik untuk proses penyemburan baja serta pembenihan pokok dapat meningkatkan kecekapan sekaligus mempercepatkan masa dan mengurangkan tenaga kerja. 

Sementara itu, dedah beliau, kementeriannya juga sedang menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara yang dijangka mampu mengariskan pelan dan strategi bagi mengimbangi keperluan manusia dengan pemeliharaan alam semula jadi.

Katanya, ia merangkumi ekosistem seperti biodiversiti, kesihatan, perubahan iklim dan jaminan makanan untuk mengekalkan kesejahteraan rakyat.

“Populasi dunia dijangka akan meningkat sehingga 9.7 billion pada tahun 2050. 

“Sekiranya ekosistem rantaian makanan tidak diseimbangi dengan penampungan alam sekitar, peningkatan populasi dijangka sukar ditampung melalui bekalan makanan sedia ada. 

“Pendekatan baru melalui “Kesihatan Planet” akan memberi tumpuan kepada saling kebergantungan antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar sebagai satu neksus perlu laksana. 

“Dalam hal ini, MOSTI dengan usahasama agensi serta kementerian– kementerian yang berkaitan sedang menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN). Pelan ini dijangka siap pada tahun 2024,”jelasnya lagi.-Edisi UKAS

add comment