Projek Tebatan Banjir Tiga Buah Kampung Debak Dalam Perancangan

KHAMIS, 2 MAC 2023

DEBAK: Projek tebatan banjir sedang dalam perancangan untuk dibina di Kampung Bungey, Kampung Babu dan Kampung Lalang di sini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata banjir yang berlaku di ketiga-tiga kampung itu berpunca dari limpahan air Sungai Rimbas rentetan hujan berterusan. 

Katanya, banjir telah menjejaskan 51 buah keluarga melibatkan seramai 213 mangsa di tiga buah kampung berkenaan. 

“Namun, apabila kita melaksanakan tempoh hari ada beberapa masalah yang berlaku. 

“Tapi saya percaya masalah itu kita akan dapat selesaikan dengan cepat supaya benteng yang dibuat di tiga buah kampung ini dapat kita siap dengan segera,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Millenia Debak pada Khamis. 

Datuk Amar Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menambah, dengan keadaan sekarang ia sepatutnya tidak berlaku. 

“Kita pun merasa simpati dengan masyarakat di sini apabila hujan bertembung air pasang besar sahaja ianya banjir, dalam keadaan sekarang ia sepatutnya tidak berlaku.

“Jadi saya berharap projek itu yang dipohon oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam bagi menyelesaikan masalah aliran air harap dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya. 

Terdahulu, Datuk Amar Douglas telah meninjau keadaan di PPS bagi menyantuni mangsa sekaligus mengenalpasti sekiranya ada perkara-perkara berbangkit dan keperluan-keperluan di pusat tersebut. 

Untuk rekod, sebanyak enam PPS di Sarawak telah dibuka bermula 1 Mac lepas. 

Turut hadir Residen Bahagian Betong selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Betong Alfred Geling Ason dan Wakil Pegawai Kebajikan Bahagian Betong Dayang Huzaimah.-EDISI UKAS 

add comment