Sediakan Latihan Sistematik & Komprehensif Untuk Pemain Golf Muda

KHAMIS, 2 MAC 2023

BINTULU: Kelab Golf Bintulu (KGB) perlu menyediakan program latihan yang sistematik dan komprehensif untuk pemain golf muda.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, latihan tersebut akan menjadi platform untuk pemain muda mengasah kemahiran dan meningkatkan potensi diri dalam sukan golf.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik penganjuran program The 1st KGB Junior Invitational Golf Championship 2023 yang juga akan menggalakkan anak muda untuk terus menjalani gaya hidup yang aktif.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan kejohanan tersebut di Kelab Golf Bintulu pada Rabu.

Sementara itu, Johnny turut menggalakkan KGB untuk menyediakan kawasan khusus untuk pemain golf muda berlatih secara berasingan.

“Ini akan membolehkan mereka berlatih dalam persekitaran yang kondusif dan dapat memberi tumpuan kepada permainan masing-masing tanpa sebarang gangguan,” jelasnya.

Pada kejohanan itu, juara keseluruhan lelaki dimenangi oleh Koo Zheng Xi dengan 158 pukulan manakala juara kategori perempuan disandang oleh Dynneva Joyce Donni dengan 173 pukulan.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Kelab Golf Sarawak Anthony Tan dan Kapten Kelab KGB Dato Medan Abdullah. -EDISI UKAS

add comment