JUMAAT, 3 MAC 2023
BINTULU: Projek pembinaan sistem perparitan Kampung Assyakirin telah menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku di kawasan berkenaan di sini.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku.
Beliau berkata, pihak kontraktor perlu membina jalan sementara yang cukup untuk menampung kegunaan jalan tersebut.
“Sekiranya jalan yang ditutup untuk penyelenggaraan adalah jalan berkembar, maka jalan sementara yang dibina juga mesti jalan berkembar.
“Jalan Bakeri Ting yang menuju ke Jalan Tun Razak telah ditutup untuk kerja baikpulih akibat daripada jalan runtuh. Jalan sementera yang dibina adalah jalan satu lorong dan menyebabkan kesesakan yang amat teruk di bulatan lalu lintas.
“Tindakan pihak kontraktor yang bercadang untuk mengubah lagi Jalan Tun Razak menuju Jalan Kidurong dan Jalan Bakeri Ting kepada jalan satu lorong semestinya menambahkan lagi beban lalu lintas di kawasan tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke ke tapak projek pembinaan sistem perparitan Kampung Assyakirin sekali gus memantau isu kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut pada Khamis.
Hadir sama ialah Jurutera Bahagian, Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Bintulu Henry Tuah serta wakil dari pihak kontraktor dan pihak konsultan projek.
Johnny Phang menambah, pihak kontraktor juga perlu menyediakan papan tanda arah yang jelas dan mencukupi di sekitar jalan sementara tanpa menjejaskan penglihatan pengguna jalanraya.
“Pihak kontraktor dan pihak berkuasa juga perlu membuat pengumuman dan pemberitahuan yang lebih awal kepada orang awam sebelum penutupan jalan bermula.
“Pusat khidmat Tanjong Batu telah menerima banyak aduan daripada penduduk di sepanjang Jalan Tanjung Batu dan Taman Lucky Tower mengenai kesesakan yang berlaku.
“Aduan yang diterima juga adalah mengenai mereka tidak menerima sebarang makluman atau peringatan awal sebelum jalan tersebut ditutup dan diubah arah,”jelas beliau lagi.
Tegasnya, pihak berkuasa seharusnya membuat pemberitahuan bukan sahaja melalui laman media sosial tetapi juga melalui media cetak dan media digital seperti radio.
ADUN Tanjong Batu itu turut menyarankan agar pihak kontraktor tidak menutup jalan sekiranya tiada keperluan yang serta-merta atau tiada kerja penyelenggaraan atau pembinaan yang dijalankan segera.
Beliau berharap cadangan yang dikemukakannya itu dapat diterima baik oleh pihak kontraktor dan pihak berkuasa supaya kesesakan lalu lintas kawasan terlibat dapat dikurangkan.
Dedahnya, pihak kontraktor telah memaklumkan kepadanya bahawa kemajuan projek tersebut tergendala atas masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan dan mereka berjanji akan mempercepatkan kerja-kerja.-Edisi UKAS