Datuk Amar Douglas Hadir Dua Program Pembangunan Debak

JUMAAT, 3 MAC 2023

DEBAK: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, telah mempengerusikan Taklimat Projek Pembangunan oleh JKR Bahagian Betong, JKR Bahagian Sri Aman dan JKR Bahagian Sarikei di Bilik Mesyuarat, Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong pada Khamis. 

Taklimat projek pembangunan ini telah disampaikan oleh Wakil Jurutera JKR Bahagian Betong Jason Ng Boon. 

Selain itu, turut dijemput untuk menyampaikan taklimat adalah pihak JKR Bahagian Sri Aman dan JKR Bahagian Sarikei. 

Terdahulu, Datuk Amar Douglas telah menyaksikan upacara menandatangani dokumen penyerahan projek siap dari pihak JKR Sarawak selaku agensi pelaksana projek kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Betong dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau. 

Skop projek tersebut di SK Nanga Gayau adalah 1 blok akademik tiga tingkat beserta bilik guru dan makmal, dua blok  iaitu empat unit dan satu blok ‘Pump House’. 

Difahamkan, projek bernilai RM7 juta itu telah dilaksanakan pada 10 Julai 2020 dan siap sepenuhnya pada 12 Mei 2022 oleh Syarikat Paloh Construction Company dan agensi teknikal JKR Negeri Sarawak. 

Dalam ucapan ringkas, Datuk Amar Douglas menzahirkan ucapan terima kasih kepada JKR Betong atas penganjuran program yang ringkas tapi sangat bermakna. 

“Dengan siapnya bangunan baru, bermulalah sejarah baru bagi SK Nanga Gayau. 

“Semoga sekolah ini akan terus menyediakan peluang pendidikan yang baik di dalam melahirkan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan seterusnya Sarawak,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak Ir Ts Cassidy Morris, Wakil Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Betong Jason Ng Boon, Pegawai Pendidikan Daerah Betong Awet Gapor, Guru Besar SK Nanga Gayau Stanley Matthew Kalong dan Wakil Syarikat Paloh Construction Company Andrew Chin.-EDISI UKAS 

add comment