SABTU, 4 MAC 2023
MIRI: Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Sarawak adalah platform penghubung di antara industri dan kerajaan dalam bekerjasama membantu sektor ekonomi pulih kesan daripada wabak Covid-19.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, perlu ada penglibatan berterusan antara kerajaan dan industri untuk membolehkan kerajaan memahami pelbagai isu yang dihadapi oleh industri dalam proses pemulihan.
“Kita memerlukan sokongan komuniti peniaga untuk mengelakkan pencatutan berlebihan yang akan menyebabkan kenaikan harga barang dan membebankan rakyat yang kini sudah terkesan dilanda impak inflasi.
“Oleh itu, persatuan seperti PUMM Sarawak adalah platform penting untuk menjadi jambatan antara industri dan kerajaan dalam bekerjasama membantu semua sektor ekonomi pulih daripada kesan wabak dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir di Malam Piagam Perhubungan PUMM Negeri Sarawak 2023 di sini pada Jumaat.
Datuk Sri Lee turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada PUMM Sarawak dan percaya usahawan boleh melakukan perubahan positif kepada negara dan menjadikan dunia ini lebih baik untuk semua.
Turut hadir Presiden PUMM Kebangsaan Tan Lay Seong, Pengerusi PUMM Sarawak Lina Hu dan Mantan Presiden PUMM Dato’ Tony Looi Chee Hong. -Edisi UKAS