Surau Darul Huda, Sarikei Rancak Dibina, Siap Sepenuhnya Jun 2023

SABTU, 4 MAC 2023

SARIKEI: Penduduk di Jalan Drahman Keria, Sarikei bakal mendapat surau baru sebaik projek bina baru Surau Darul Huda yang sedang rancak dibina siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Surau bernilai RM500,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang bermula Disember 2022 dijadualkan siap pada 7 Jun 2023 oleh kontraktor dilantik, WBN Construction.

Selain itu, penduduk Rumah Panjang Grace Nanie Stephen di kawasan Sare juga gembira apabila projek pembinaan rumah panjang 10 pintu bernilai RM770,000 kini sudah siap dan hanya menunggu penyambungan bekalan elektrik dan air.

Penyerahan rasmi projek rumah panjang ini oleh kontraktor kepada penduduk akan dilakukan pada 7 Mac ini bersama agensi kerajaan yang terlibat.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh pada petang Jumaat telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau semua projek yang siap dan sedang dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu juga amat berpuashati dengan perkembangan semasa projek yang berjalan bertujuan memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan beliau.

Dalam pada itu, Penduduk Rumah Panjang Grace Nanie amat berterima kasih kepada Datuk Len kerana kesungguhan beliau melaksanakan projek tersebut meskipun pelbagai isu yang timbul sepanjang projek berjalan.

Sebelum itu, Datuk Len sempat melawat dan meninjau keadaan semasa projek naiktaraf Masjid Al-Mutaqqin Sarikei serta berharap projek tersebut siap mengikut jadual.

Hadir sama pada lawatan ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sarikei Ainur Yazmin, wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ketua Masyarakat. – EDISI UKAS

add comment