SABTU, 4 MAC 2023
KUCHING: Sebuah pusat latihan kepimpinan generasi muda dicadangkan untuk diwujudkan di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pewujudan pusat berkenaan adalah bagi melatih golongan muda untuk menjadi seorang pemimpin dalam pelbagai sektor di negeri ini.
Ujarnya, hasrat berkenaan merupakan aspirasi beliau untuk generasi muda di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Petra Jaya.
“Saya ingin mewujudkan satu pusat latihan iaitu untuk program kepimpinan supaya kita dapat mengasuh dan mendidik anak-anak kita menjadi pemimpin.
“Pemimpin bukan sahaja dari sudut politik tapi pemimpin dalam pelbagai sektor termasuklah sektor korporat, perniagaan, kemasyarakatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
“Kalau dapat untuk mereka didedahkan bukan sahaja untuk peringkat negeri tetapi dibawa ke peringkat kebangsaan dan seterusnya di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah supaya kita mempunyai barisan kepimpinan muda yang memiliki kemahiran kepimpinan dan boleh menjadi penerus kepada perjuangan memimpin Sarawak ke arah sebuah negeri yang lebih maju lagi untuk seluruh rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Juh Bekpes dengan FY di King Laksa Sarawak Metrocity di sini pada Sabtu.
Program secara santai itu turut disertai seramai 45 belia berusia antara 18 hingga 28 tahun yang terdiri daripada Protem Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan pecahan seramai 15 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Samariang dan Satok.
Dato Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah akan mengusulkan perancangannya itu kepada kementerian yang berkaitan di peringkat Persekutuan.
Sementara itu, beliau memberitahu, perjumpaan bersama dengan anak muda di kawasannya itu adalah bagi mendapatkan maklumbalas dan pandangan daripada mereka mengenai prestasi kerajaan yang baharu dan sebagainya.-Edisi UKAS