Kerajaan Sarawak Bercadang Tubuhkan Studio Mini Ala IMS

SABTU, 4 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang untuk menubuhkan sebuah studio mini di Sarawak seperti Iskandar Malaysia Studios (IMS) yang terletak di Johor Bahru. 

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Nasir Ibrahim untuk menubuhkan sebuah studio mini di Sarawak. 

“Saya telah berbincang dengan CEO Finas, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim bahawa kita perlukan sebuah studio filem di Sarawak seperti Iskandar Malaysia Studios (IMS) yang terletak di Johor Bahru,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan menggalakkan dan akan cuba untuk membantu sebanyak yang mungkin dalam membangunkan industri ini kerana terdapat potensi besar untuk  mempromosikan kekayaan Sarawak terutama sekali perpaduan, kepelbagaian, keindahan alam sekitar dan kelestarian seluruh negeri Sarawak. 

“Apatah lagi setelah laluan Pan Borneo yang dijangka siap pada tahun 2024, sangat mudah untuk kita bergerak ke mana sahaja. 

“Tidak lupa permandangan yang sangat cantik yang bukan sahaja pelancong boleh menikmatinya, malah pembuat filem dan penduduk tempatan boleh datang untuk menghasilkan dokumentari atau video pendek di sosial media,” ujar Dato Gerald. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Tayangan Perdana Filem Rajah pada Sabtu di sini. 

Sementara itu, CEO Finas Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata beliau telah berjumpa dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk mencadangkan agar Sarawak memiliki studio mini seperti IMS.

“Beliau memberitahu saya yang beliau pernah melawati IMS dan sangat yakin dengan perancangan yang betul, Sarawak akan mampu untuk menubuhkan studio sendiri seperti IMS dan memerlukan ekosistem yang baik agar industri filem di Sarawak boleh dimajukan lagi,” ujarnya lagi. 

Turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Alice Jawan dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah, Sirai Daha. -Edisi UKAS

add comment