Samalaju Akan Terus Dibangun

AHAD, 5 MAC 2023

BINTULU: Kawasan Samalaju akan terus dibangunkan bagi memberi manfaat kepada pemerkasaan sosioekonomi masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, beliau masih mempunyai hasrat untuk membawa pelbagai pembaharuan ke kawasan tersebut.

Katanya, projek pembangunan khususnya akan menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat setempat.

“Contohnya, projek luar pesisir seperti Projek Bintulu-Samalaju Gas Pipeline yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2023 dan beroperasi pada penghujung tahun 2025 kelak bakal mendatangkan manfaat kepada warga kota dari segi peluang pekerjaan.

“Kita mungkin dapat bekerja bersama mereka. Jika tidak sekalipun, mungkin anak cucu kita nanti atau orang lain yang menetap di kawasan ini,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Tuai Rumah Kawasan Samalaju di sini pada Sabtu.

Melihat keadaan tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju menyeru agar penduduk setempat memanfaatkan peluang itu dengan melanjutkan pelajaran mahupun mengikuti kursus bagi mengasah kemahiran dalam industri berkaitan.

Sementara itu, Dato Majang menyambut baik penganjuran mesyuarat agung seumpamanya sebagai platform barisan ketua kampung menimba ilmu pengetahuan baharu yang boleh memajukan lagi diri masing-masing.  

“Seseorang ketua kampung perlu ada kebolehan, pengetahuan dan kemahiran yang cukup luas agar dapat memajukan rumah panjang serta rakyat tempatan,” katanya lagi.

Dalam program tersebut, beliau turut berkesempatan menyalurkan dana Projek Kecil Luar Bandar sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Tuai Rumah Kawasan Samalaju.

Hadir sama ialah Penghulu Kawasan Samalaju Man Imbak. -EDISI UKAS

add comment