Hari Keluarga Medium Penduduk Memupuk Semangat Kemasyarakatan

ISNIN, 6 MAC 2023

LIMBANG: Program Hari Keluarga merupakan medium untuk penduduk kampung berkumpul dan bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti bersama.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, program tersebut dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan umur.

“Ini juga merupakan wadah untuk rakyat setempat berinteraksi, berkomunikasi dan saling mengenali melalui penglibatan dalam aktiviti sukan serta kemasyarakatan,” katanya dalam Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Keluarga JKKK Tahun 2023 anjuran bersama Biro Wanita, KRT Sahabat Komuniti dan Unit SABERKAS Kampung Limpasong di sini pada malam Ahad.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Limpasong yang paling aktif dalam penganjuran aktiviti bersama penduduk setempat dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti KEMAS.

Mengulas lanjut, Paulus turut menyeru kepada JKKK di kampung lain agar mendapatkan suntikan motivasi dan mencontohi JKKK Kampung Limpasong dalam mengekalkan semangat keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Antara pengisian program Hari Keluarga tersebut yang menarik perhatian orang ramai ialah Pertandingan Ratu Cantik Baju Bisaya yang bertujuan membantu generasi muda untuk mengenali dan meningkatkan lagi pengetahuan berhubung pakaian tradisi masyarakat Bisaya.

Turut hadir, Ketua Masyarakat Bisaya Limbang Temenggong Nicholas Buyok Pura, Ketua Masyarakat Bisaya Penghulu Ekit Awang, Penghulu Lalam Sambat serta Ketua Kampung Limpasong Embok Siok. -EDISI UKAS

add comment