Jasa, Pengorbanan Dato Penghulu Imban Terus Diingati

ISNIN, 6 MAC 2023

SELANGAU: Lebih 100 waris Dato Penghulu Imban Medan menghadiri upacara miring di tapak perkuburan pahlawan itu di sini pada Sabtu.

Upacara itu diadakan sempena majlis kesyukuran mendiang dikurniakan Pingat Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) sempena Hari Jadi ke-86 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang membawa gelaran Dato.

Menurut Menteri Perpaduan Malaysia Datuk Aaron Ago Dagang, pingat ini merupakan satu penghormatan kepada Penghulu Imban yang telah mempertahankan negara walaupun ianya diberikan setelah 50 tahun beliau dibunuh oleh komunis.

Mendiang Penghulu Imban telah dibunuh oleh pengganas komunis pada 25 Februari 1972.

Di samping itu katanya, buku berkaitan Penghulu Imban juga ditulis supaya golongan muda khasnya mengetahui perjuangan dan pengorbanan beliau mempertahankan negeri ini dari ancaman komunis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran di Rumah Rose Nana, Skim Sekuau, Oya. Selangau pada Sabtu.

Menyentuh perkara lain, Datuk Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berjaya Kerajaan membangunkan negeri dengan menyediakan kemudahan infrastruktur melalui pelbagai agensi contohnya melalui Agensi Pembangunan Ulu Rajang atau URDA dan sebagainya.

“Bagi kawasan kita di Parlimen Kanowit dan Parlimen Selangau telah diluluskan oleh YAB Premier Sarawak pada November tahun lepas iaitu RASDA dengan peruntukan RM1.5 billion.

“Ia meliputi kawasan dari Machan, Ngemah, Tamin dan Kakus dimana juga merangkumi kawasan RASCOM.

“Sejarah RASDA ditubuhkan adalah bermula dari rancangan untuk membangunkan kawasan kawasan RASCOM seperti di Nanga Tada, Ngungun, Sekuau dan di Nanga Jagau.

“Tumpuan kita adalah di kawasan RASCOM tetapi tidak bermaksud kita meninggalkan kawasan lain yang dibawah RASDA. Oleh yang demikian, di dalam RASDA terdapat jawatankuasa khas bagi kawasan RASCOM,” katanya semasa berucap.

Tambah Datuk Aaron lagi, halatuju utama RASDA adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat dari Machan sehingga ke Kakus terutamanya pembangunan tanah dan infrastruktur supaya dapat membasmi kadar kemiskinan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira Sambang ketika mengulas mengenai isu banjir berkata setakat ini Jawatankuasa Bencana peringkat daerah termasuk Pejabat Daerah Selangau serta pihak bomba telah mengadakan mesyuarat berkaitan persediaan jika berlakunya banjir.

Katanya, walaupun setakat ini belum ada kediaman yang dinaiki air di Selangau mamun beliau meminta penduduk di kawasan rendah di sepanjang tebingan sungai Balingian, Batang Oya dan Batang Mukah agar sentiasa berjaga jaga.

Tegas beliau, jika berlaku bencana banjir pihak Jawatankuasa Bencana Daerah akan membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Serbaguna Selangau dan juga Dewan Serbaguna Sekuau.

Dalam pada itu, cucu kepada mendiang Penghulu Imban Roseline Anthony Ajang dalam ucapannya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas pengurniaan gelaran Dato kepada mendiang Penghulu Imban sebagai memperingati di atas jasa dan pengorbanan datuk beliau mempertahankan negeri ini dari ancaman komunis.

Katanya, satu lagi pengiktirafan kerajaan kepada Penghulu Imban apabila sebuah sekolah di Sekuau dinamakan dengan SK Penghulu Imban.

Pada majlis sama, Ir Christopher Gira menyampaikan lima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada sebuah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan empat lagi cek MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang berjumlah keseluruhan RM72,000.

Hadir sama ADUN Pelagus Wilson Nyabung Ijang, Ret Leftenan General Datuk Stephen Mundaw, Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak Maurice Joannes Giri dan Penghulu Andrewson Ngalai. – EDISI UKAS

add comment