Jefferson Adakan Lawatan Kerja Ke Mahkamah Bumiputera Miri

ISNIN, 6 MAC 2023

MIRI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat telah mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Bumiputera Miri di sini pada Isnin.

Tujuan lawatan kerja tersebut adalah untuk mendapat maklumat secara langsung mengenai situasi sebenar serta perkembangan terkini berkaitan kemajuan dan perancangan di mahkamah tersebut.

Beliau turut berkesempatan menghadiri sesi dialog bersama para pegawai di situ bagi memperincikan permasalahan serta cabaran yang kerap timbul.

Antara perkara yang ditelitikan termasuk permohonan status ‘Bumiputera Resident Native Court’, elaun majistret, keperluan latihan kompetensi untuk pegawai serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), status terkini Mahkamah Bumiputera Sarawak yang berfungsi sebagai unit kehakiman yang teguh, bebas dan berpentadbiran sendiri, sistem pentadbiran Mahkamah Bumiputera Miri, kelengkapan dan peralatan pejabat serta persoalan perjawatan untuk kerani Mahkamah Daerah dan Residen.

Dalam pada itu, Jefferson akan meneruskan lawatan kerjanya dengan melawat ke Marudi pada Selasa.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Dahim Nadot, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Penghulu Randi Elon, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Miri Dato Abdul Rahman Abang Fadzail, Temenggong Masyarakat Iban Bahagian Miri Willson Atong Limping dan Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Miri Yong Vui Seng. -EDISI UKAS

add comment